Thursday, January 29, 2009

Perancangan berkesan perlu dalam usaha lahir generasi berilmu

Perancangan berkesan perlu dalam usaha lahir generasi berilmu
30th January, 2009
WESTON (Beaufort): Usaha melahirkan generasi muda yang berkemahiran dan berilmu sudah tentu akan terjejas jika usaha kerajaan tidak dilaksanakan dengan perancangan yang berkesan.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata antara perancangan berkesan itu ialah dengan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak terutama sekali pemimpin kawasan.
“Kerajaan menumpukan kepada pembangunan modal insan tetapi perancangan itu pasti terjejas jika jabatan khususnya Jabatan Belia dan Sukan (P) Persekutuan Beaufort bertindak sebaliknya,” katanya pada majlis perasmian Kem Integrasi Kelab Rakan Muda Sipitang dan Alumni PJKN Negeri Sabah di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin, Pegawai Perhubungan Parlimen Luma-dan Matbali Musah, Pemaju Mukm Lumadan Junaidi Omarali dan Presiden Kelab Rakan Muda Sipitang Junaidah Musatapha.
Sapawi memberitahu jabatan tidak harus bertindak sendirian dengan melaksanakan program atau aktiviti dengan mengetepikan peng-libatan dan pengetahuan pemimpin kawasan.
Menurutnya mengetepikan pemimpin setempat boleh menyebabkan sasaran setiap program atau aktiviti yang dilaksanakan tidak tercapai.
“Keadaan ini harus dielakkan kerana sokongan dan penglibatan pemimpin kawasan penting bagi menentukan kejayaan setiap program serta aktiviti yang dilaksanakan,” katanya lagi.
Katanya JBS (P) Beaufort harus tahu bahawa Kementerian Belia Persekutuan mempunyai tanggungjawab besar yang disandarkan oleh kerajaan dlam memainkan peranan untuk membentuk dan membangunkan golongan belia.
Beliau berkata tentu sekali tanggungjawab itu diharap dapat dilaksanakan dengan berkesan pada peringkat jabatan.
“Kita tidak mahu sikap `membisu’ dan tidak prihatin menyebabkan JBS (P) Beaufort gagal melaksanakannya tanggungjawab itu dan paling membimbangkan jika golongan belia serta pemimpin kawasan sendiri bosan dan akhirnya memutuskan untuk enggan memberikan kerjasama dan juga sokongan,” katanya lagi.
Menurutnya, jika keadaan itu berlaku, bukan sahaja memberi kesan kepada jabatan sendiri tetapi juga kepada kerajaan.

No comments: