Thursday, January 29, 2009

MASANYA UNTUK UNDANG-UNDANG ANTILOMPAT PARTI, KATA PAIRIN

MASANYA UNTUK UNDANG-UNDANG ANTILOMPAT PARTI, KATA PAIRIN
30th January, 2009
KOTA KINABALU: Sudah tiba masanya untuk difikirkan secara serius bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada pelaksanaan antilompat parti, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.
“Kita banyak menyaksikan ketidakstabilan politik di masa lalu. Kini masanya untuk mempertimbangkan cadangan ini.
“Dengan adanya peruntukan undang-udang antilompat parti dalam perlembagaan, kita dapat melaksanakan satu lagi langkah ke arah kestabilan dalam landskap masyarakat dan politik kita,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Pairin yang juga presiden Parti Bersatu Sabah berkata beliau akan memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menyokong pindaan tersebut dibuat dalam perlembagaan persekutuan dan negeri.
Beliau mengulas gesaan Menteri Luar yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim kepada Barisan Nasional (BN) Perak supaya mengadakan gerakan besar-besaran bagi mendesak Anggota Dewan Undangan Ne-geri Bota, Datuk Nasaruddin Hashim supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu yang dimenanginya atas tiket BN.
Nasaruddin telah melompat parti kepada Parti Keadilan Rakyat Ahad lalu.
“Ia merupakan kenyataan yang sangat menarik dan signifikan kerana ia merujuk kepada perbuatan seorang anggota dewan undangan negeri yang melompat dari parti yang beliau bertanding kepada parti lain,” kata Pairin.
Sementara itu, Presuden Parti Liberl Demoktraik Sabah (LDP), Datuk V.K. Liew berkata sebarang percubaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sukar dilaksanakan memandangkan majoriti gabungan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) di Parlimen kurang dari dua pertiga.
Liew berkata mengikut perlembagaan yang ada, sebarang cadangan untuk menghalang seseorang daripada menyertai mana-mana pertubuhan seperti parti politik adalah bertentangan dengan kebebasan berpersatuan.
“Oleh itu, adalah sia-sia untuk bercakap mengenainya me-lainkan kita melepasi halangan Perlembagaan terlebih dahulu,” katanya di sini kelmarin.
Liew, yang juga timbalan menteri Perdagangan Antara-bangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan beberapa pemimpin Umno untuk memperkenalkan undang-undang anti lompat parti bagi memastikan amalan politik bermoral di negara ini.
Undang-undang anti lompat parti mendapat perhatian beri-kutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri BN kawa-san Bota di Perak Datuk Nasaruddin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Liew berkata di Sabah, kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang lepas pernah menguatkuasakan undang-undang seumpama itu pada tahun 1980-an tetapi kemudiannya diisytihar ultra vires Perlembagaan Persekutuan kerana ia menyekat kebebasan seseorang berpersatuan.
Di KUALA TERENGGANU, Pesuruhjaya PAS Tereng-ganu Datuk Mustafa Ali berkata undang-undang antilompat parti perlu dilakukan termasuk dengan membenarkan wakil rakyat yang mengosongkan kerusi mereka bertanding semula dalam tempoh terdekat dan bukannya lima tahun seperti peruntukan sedia ada.

No comments: