PBS nafi pernah benarkan warga Filipina masuk Sabah
Oleh Bernama
Isnin, 18 Ogos 2008
KK: Parti Bersatu Sabah (PBS) menafikan pernah membenarkan sebilangan besar warga Filipina memasuki negara ini, khususnya Sabah ketika memerintah Sabah selama hampir 10 tahun bermula 1985.
Mengulas dakwaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar mengenai hal itu, yang diterbitkan dalam New Straits Times hari ini, Ketua Pegawai Penerangan PBS Johnny Mositun berkata kenyataan itu tidak betul dan mengelirukan.
Syed Hamid disebut berkata bahawa "Pada zaman PBS, mereka membenarkan ramai rakyat Filipina memasuki negara ini".
Ketika menafikan dakwaan itu, Mositun berkata Presiden PBS Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, sebagai Ketua Menteri pada ketika itu, malah tidak dibenarkan memegang jawatan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri.
Sebaliknya, kata Mositun PBS mengemukakan beberapa laporan kepada polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung kehadiran pendatang haram di Sabah dan cara migran sementara itu mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
"Yang demikian, Kerajaan mestilah menyiasat perkara ini secara profesional dan menyeluruh agar keselamatan dan kedaulatan negara tidak tergugat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Orang asing yang ingin menjadi warga Malaysia mestilah melalui prosedur betul dan memohon mengikut undang-undang dan perlembagaan negara ini, kata beliau.
"Jika tidak, tiada makna mempunyai perlembagaan dan undang-undang negara. Mendapat kewarganegaraan menerusi cara yang mencurigakan juga bertentangan dengan Rukun Negara," kata beliau.
Dalam hubungan ini, Mositun menggesa Kerajaan membatalkan semua kewarganegaraan yang didapatkan menerusi akuan berkanun palsu.
Monday, August 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment