Wednesday, August 6, 2008

Pelbagai insentif subsidi disedia kepada peladang

Pelbagai insentif subsidi disedia kepada peladang
7th August, 2008

KENINGAU: Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif berbentuk subsidi baja, subsidi pembajakan serta yang terbaru ialah subsidi racun kepada para peladang yang terlibat secara langsung dengan penanaman padi di seluruh negara.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Haji Sairin Haji Karno berkata, ini bertujuan meningkatkan keupayaan petani mengeluarkan makanan negara dan tidak bergantung sepenuhnya kepada beras import dari negara jiran.

Sairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan berkata, demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Keningau yang ke 26, di sebuah hotel terkemuka di sini baru-baru ini.

Dalam masa yang sama beliau juga memuji pergerakan Pertubuhan Peladang Kawasan Keningau kerana sentiasa komited menerajui bidang pertanian khususnya dalam penanaman padi di samping menyahut seruan kerajaan mengujudkan usahawan-usahan tani di daerah ini.
“Usaha ini harus diteruskan kerana pertubuhan ini adalah milik ahli-ahlinya dan setiap kejayaan yang dikecapi adalah kejayaan ahli-ahlinya,” katanya.

Menurut Sairin, sumbangan dan bimbingan yang berterusan dari pihak LPP Sabah juga merupakan faktor terpenting yang telah membolehkan PPK Keningau menjadi antara PPK yang berjaya setakat ini.

Dalam pada itu, Sairin yang merupakan Presiden Kehormat PPK Keningau bagi pihak seluruh ahli PPK Keningau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak LPP Sabah.
Dalam majlis tersebut, beberapa anugerah dan penyampaian hadiah telah disampaikan seperti anugerah penjualan getah terbanyak, anugerah penambahan saham terbanyak, anugerah langganan input pertanian tertinggi, anugerah unit paling aktif da juga hadiah kecemerlangan anak-anak ahli dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM sepanjang tahun 2007.

Sebagai satu badan yang prihatin terhadap kebajikan ahli-ahlinya, pada majlis tersebut, pihak PPK Keningau juga telah menyampaikan derma kepada ahli keluarga dua orang ahli yang telah kembali kerahmatullah.

Turut hadir Johari Tahir, selaku wakil Pegawai Daerah, Salleh Hj. Kabul yang mewakili Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah, OKK. Amir Datuk Arif, Pengurus Besar PPK Keningau Jafrin @ Julius Kaingud, .Salehuddin Tahir, Pengerusi AJP PPK Keningau, Pegawai-pegawai kerajaan persekutuan dan negeri dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

No comments: