Thursday, April 16, 2009

POLIS MARIN TUMPAS SINDIKET DOKUMEN PALSU

Oleh: AL UMAR MOHD. YUSSUF (Wartawan Tawaukini)

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin Tawau (PGMT) merampas pelbagai dokumen yang disyaki diubahsuai atau dipalsukan seperti MyKad, Kad Pengenalan Bunga Raya dan lesen memandu, hasil penangkapan tiga pengawal keselamatan yang menggunakan MyKad yang disyaki palsu, kelmarin.

Dokumen-dokumen yang dirampas ialah 9 keping MyKad, 9 keping Kad Pengenalan Bunga Raya, 11 keping lesen memandu, 11 keping lesen memandu kenderaan GDL dan 5 keping lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam.

Selain itu, beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk membuat dokumen palsu juga turut dirampas iaitu 2 unit dater stamp, 1 unit ink stamp pad, 10 keping gambar, 85 keping laminating film dan 1 set thumbprint.

Pegawai Pemerintah PGMT, DSP Husaini Zainal Abidin (gambar) berkata, rampasan pelbagai dokumen dan peralatan berkenaan dibuat hasil serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Batu 5 Jalan Apas, kira-kira jam 9.30 malam, pada Rabu.

Sebelum serbuan dibuat katanya, pihaknya menahan tiga pengawal keselamatan terbabit di tiga tempat berasingan di daerah ini.

MyKad yang dirampas kerana disyaki palsu atau telah diubahsuai.


Pengawal pertama, 50-an, jelasnya ditahan pada kira-kira jam 7.30 malam, berhampiran sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas kerana menggunakan dokumen MyKad bernombor 580102-12-5255.

Dokumen atas nama Ibrahim Damang itu bagaimanapun disyaki palsu berikutan nama yang terkandung di dalam cip MyKad berkenaan ialah Konens Mauris dengan nombor MyKad 910602-12-6157, ketika diperiksa menggunakan pembaca MyKad.

Penangkapan kedua pula ujarnya dibuat ke atas seorang pengawal keselamatan berusia 20-an, ketika beliau sedang bekerja di pondok pengawal di sebuah syarikat di kawasan berhampiran Batu 5, Jalan Apas Tawau, kira-kira jam 8.20 malam hari yang sama.

Suspek ujarnya menunjukkan MyKad bernombor 800308-12-5063 ketika diperiksa, bagaimanapun ia disyaki bukan milik beliau memandangkan bayangan gambar yang tertera tidak jelas kelihatan dan perkataan warganegara pada MyKad itu juga tidak seperti yang sepatutnya.


Lesen memandu disyaki palsu.

Manakala pengawal terakhir yang juga berusia 20-an kata Husaini, ditahan pada jam 8.50 malam di rumah sewanya di kawasan Batu 5 Jalan Apas, kerana disyaki menggunakan MyKad palsu ekoran wajahnya tidak sama seperti yang terkandung di dalam MyKad berkenaan.

Hasil daripada penangkapan ketiga-tiga pengawal terbabit kata Husaini, PGMT kemudiannya menyerbu rumah di kawasan Kg. Kinabutan Batu 5, Jalan Apas berkenaan dan menemui satu bekas putih yang mengandungi pelbagai dokumen dan peralatan, di kawasan luar rumah.

“Tiada sesiapa berada di dalam rumah ketiga ia diserbu. Kita percaya penghuninya telah melarikan diri lebih awal, semasa kita menahan pengawal-pengawal keselamatan tersebut,” katanya.

Pihaknya katanya kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan sedang berusaha untuk mencari mana-mana pihak yang terlibat di dalam kes berkenaan.

Kes itu katanya diklasifikasikan di bawah Peraturan 25 (1) (e), Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan PGMT akan menghantar kesemua dokumen tersebut kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk ditentu-sahkan keasliannya.

“Saya berharap masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat tentang kes ini dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan segera,” katanya lagi.

Beliau memberitahu bahawa kejayaan itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dibuat pihaknya.


No comments: