Saturday, March 21, 2009

Kemiskinan di bandar perlu ditangani secara bersepadu, kata Edward

Kemiskinan di bandar perlu ditangani secara bersepadu, kata Edward


KOTA KINABALU: Masalah kemiskinan dalam bandar perlu ditangani secara bersepadu oleh setiap jabatan, agensi kerajaan dan pihak swasta serta pertubuhan sukarela.
Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Edward Yong Oi Fah berkata, semua pihak yang terlibat mempunyai peranan masing-masing dalam usaha membasmi kemiskinan di kalangan penduduk negeri ini termasuklah mereka yang tergolong dalam kelompok miskin di bandar.
“Usaha agensi kerajaan seperti Yayasan Sabah amat besar maknanya kepada usaha pembasmian kemiskinan kerana kelompok miskin di bandar sering tertinggal dalam perancangan pembasmian kemiskinan,” katanya
Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat daripada Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, Hanafiah Diman dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Sabah yang membuat kunjungan hormat kepada beliau di pejabatnya hari ini.
Katanya, kadar kemiskinan di bandar diburukkan lagi dengan penghijrahan masyarakat dari luar bandar serta para pendatang asing yang tertumpu di kawasan penempatan seperti di Sembulan dan Tanjung Aru.
“Permintaan terhadap rumah kos rendah umpamanya meningkat setiap masa, dan begitu juga keperluan dan akses kepada kemudahan asas yang lain,” katanya.
Yong melahirkan kebimbangannya jika isu kemiskinan di bandar tidak ditangani dengan bijak ianya akan membawa kepada isu-isu sosial yang lain yang boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman awam.
“Isu ini perlu kita tangani dengan segera serta penuh berhati-hati kerana ianya melibatkan keselesaan rakyat serta lebih banyak membabitkan generasi muda dari pelbagai latarbelakang,” katanya.
Dalam pada itu, Yong turut mengalu-alukan pelbagai bantuan dan pelaksanaan program oleh Yayasan Sabah yang akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini terutama mereka yang berada di bawah garis kemiskinan.
Dalam kunjungan itu. Beliau diberi taklimat mengenai program-program Yayasan Sabah khususnya di Zon Pantai Barat Selatan dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru.
Pada kunjungan itu, Hanafiah turut menyerahkan borang-borang permohonan Skim Bantuan Khas Yayasan Sabah kepada Yong yang juga Adun Tanjung Aru untuk diedar dan dipenuhi oleh calon-calon penerima yang akan dikenal pasti.
Pembahagian Skim Bantuan Khas bagi DUN Tanjung Aru dijangka akan diadakan pada bulan April tahun ini.

No comments: