Tuesday, August 12, 2008

Penempatan tentera di pulau-pulau Pantai Timur Sabah berkesan

Penempatan tentera di pulau-pulau Pantai Timur Sabah berkesan
12th August, 2008
SEMPORNA: Keputusan kerajaan menempatkan pasukan keselamatan khasnya tentera di pulau-pulau di sekitar perairan Pantai Timur Sabah sejak beberapa tahun lalu, ternyata terbukti berkesan apabila sejak itu tiada lagi sebarang insiden seperti penculikan dilaporkan berlaku.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, situasi itu secara tidak langsung turut mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat mahupun pelancong asing, yang sebelum ini sedikit tergugat ekoran insiden penculikan di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan, Semporna pada 2000. “Kini penduduk mahupun pelancong asing boleh tidur dengan nyenyak dan dalam keadaan selesa memandangkan mereka kini tidak perlu lagi gusar kerana tahap keselamatan mereka sentiasa terjamin,” katanya.
Dalam hal berkaitan, Najib yang juga Menteri Pertahanan Malaysia turut memberitahu yang kawasan perairan negeri ini akan turut diawasi menggunakan sistem radar tidak lama lagi, sebagai pendekatan canggih yang diambil untuk menangani sebarang ancaman atau anasir yang datang dari luar. Kata beliau, sebanyak sembilan radar akan dipasang untuk tujuan itu dan apabila ia mula digunakan kelak, ia bakal memudahkan pihak keselamatan mengawasi perairan serta bertindak dengan lebih cepat dan cekap, jika berlaku sebarang insiden yang memerlukan mereka berbuat demikian. Buat permulaan katanya, empat radar akan dipasang termasuk satu di kawasan Tinagat, Tawau pada Oktober depan, sebelum lima yang lain pada tahun hadapan
Beliau berkata demikian dalam sidang medianya di Pulau Denawan Semporna, bersempena tinjauan beliau dan editor-editor kanan media massa ke Op Pasir Selatan, Program Lawatan Ke Pangkalan Hadapan dan Kawasan Operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah, di sini kelmarin. Dalam pada itu, Najib kelmarin juga menyatakan bahawa satu sistem perhubungan baru dikenali sebagai Rangkaian Radio Kerajaan Bersepadu (GIRN) bakal diperkenalkan dan dijangka beroperasi sepenuhnya untuk Fasa Pertama, menjelang Disember 2008.
Dengan adanya sistem terbabit ujarnya, ia akan memudahkan perhubungan serta perkongsian maklumat suara dan data, di antara tujuh agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang telah dikenal pasti. Bagaimanapun katanya, keupayaan rangkaian radio terbabit tidak terhenti setakat itu sahaja tetapi akan terus dipertingkatkan sehingga lebih banyak agensi berkaitan dapat menggunakan rangkaian terbabit.
Sebelum menghadiri Program Jiwa Murni ATM di pulau tersebut kelmarin, Najib terlebih dahulu mengunjungi Pulau Siamil bagi menyaksikan demonstrasi Angkatan Bersama Dua (ATB2) menyelamat tiga pelancong asing yang diculik pengganas.
Turut terlibat menjayakan demonstrasi itu ialah Polis DRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Hadir mengiringi Najib kelmarin ialah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Panglima Angkatan Tentera Jen. Tan Sri Abdul Aziz Haji Zainal, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, Panglima Tentera Laut Laksamana Dato’ Abd. Aziz Jaafar, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Angkatan Bersama Lt. Jen Dato Allatif Mohamed Noor.
Turut sama ialah Ketua Pengarah APMM Laksamana Datuk Amdan Kurish, Pengarah Kementerian Dalam Negeri Dato’ Hussein Ismail, Panglima 1 Divisyen Mej Jen. Dato’ Mazelan Kasap, Panglima 5 Briged Brig Jen Masrani Paiman, Panglima ATB2 Brig Jen. Sheikh Mohsen Sheikh Hassan, Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Syed Zahiruddin Putra Syed Osman, Panglima 2 Div Udara Brig Jen Datuk Khairul Bakri Mustafa dan Ketua Briged Sabah SAC II Paramasival a/l Arunaselam dan wakil-wakil rakyat.

No comments: