Tuesday, August 12, 2008

BPR SIASAT SALAH LAKU AHLI POLITIK SABAH

BPR SIASAT SALAH LAKU AHLI POLITIK SABAH
12th August, 2008
KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang menyiasat seorang ahli politik dari Sabah dipercayai terbabit dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa, pemalsuan dan amalan rasuah yang membolehkannya mendapat tiga kontrak bernilai RM40 juta di Labuan.
Bernama difahamkan bahawa ahli politik itu telah memberi suapan kepada beberapa pegawai Kementerian Wilayah Persekutuan —yang menawarkan tender kontrak—bagi membantu firma kejuruteraannya mendapat kontrak yang menguntungkan itu. Di samping itu, ahli politik berusia 51 tahun itu disyaki memalsukan beberapa dokumen berkaitan dengan kontrak itu bagi mendapatkan pinjaman RM8 juta dari sebuah bank di Kota Kinabalu.
Pinjaman itu digunakan untuk melunaskan hutang peribadinya dan melakukan bayaran susulan kepada kontraktor kecil yang dilantiknya untuk ketiga-tiga kontrak berkenaan.
Bernama juga difahamkan bahawa Bank Negara Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah telah mengarahkan pegawai mereka untuk menyiasat bagaimana bank di Kota Kinabalu itu memberi pinjaman RM8 juta kepada ahli politik itu tanpa dokumen lengkap.
Pengarah BPR Sabah Latifah Mohd Yatim, ketika dihubungi Bernama kelmarin, enggan mengulas berkaitan siasatan kes itu. “Saya tidak mahu menyatakan apa-apa buat masa ini. Biarkan kami menjalankan tugas,” katannya ketika diminta mengulas kes itu. Adalah difahamkan bahawa pegawai BPR telah mengambil beberapa fail milik ahli politik tersebut, yang memegang jawatan penting di sebuah agensi kerajaan di Labuan, baru-baru ini.
Bernama juga difahamkan bahawa BPR Sabah akan mengambil keterangan dari ahli politik itu dalam masa terdekat ini bagi melengkapkan siasatan untuk tindakan susulan.
Sementara itu, seorang pegawai tinggi di agensi persekutuan berkenaan di Labuan memberitahu Bernama bahawa BPR Sabah telah pun memaklumkan beliau mengenai siasatan tersebut dan agensi itu menganggap kes itu sebagai serius.
“BPR juga mengambil keterangan dari saya Sabtu lepas dan kami bersedia membantu dalam siasatan. Menurutnya, pihaknya akan membawa perkara itu kepada lembaga pengarah agensi itu dalam masa dekat ini dan tidak akan bertolak ansur dengan salah laku ahli politik berkenaan.
Bernama juga difahamkan baha-wa ahli politik berkenaan itu telah menipu seorang kontraktor kecil yang berpusat di Kuala Lumpur un-tuk membina sebuah pasar berharga RM20.5 juta di Labuan. Akhirnya, kontraktor tersebut mengalami kerugian berjumlah RM500,000.
Kontraktor berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Eric memberitahu Bernama bahawa beliau telah membuat aduan di Ibu Pejabat BPR Sabah pada 29 Julai lalu dan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Karamun-sing, Kota Kinabalu, pada hari berikutnya. Katanya beliau diberi kontrak untuk mendirikan sebuah pasar di Ujong Pasir, Labuan dan telah mendapat Surat Penerimaan (LA) dari firma kejuruteraan ahli politik itu awal tahun ini.
“Bagaimanapun, LA itu tidak lengkap dan saya memintanya do-kumen betul. Dia keberatan untuk berbuat demikian, dengan menyatakan bahawa saya harus mempercayainya kerana dia adalah ahli politik terkenal. Saya mempunyai keterangan bagi membuktikan bahawa ahli politik itu telah menyalahgunakan kuasa. “Dia meminta saya memulakan pembinaan tanpa menandatangani beberapa dokumen penting tetapi hanya membuat bayaran awal sebanyak RM200,000. “Saya percayakan dia dan dia berjanji membayar bakinya. Bagai-manapun, pada 14 Julai lalu, dia menghantar surat membatalkan kontrak bernilai RM20.5 juta (pasar di Labuan) tanpa sebarang notis,” kata Eric.
Katanya ahli politik itu kemudian membuat perjanjian baru dengan pihak lain untuk meneruskan pembinaan pasar berkenaan. Eric memanggarkan jumlah kerugian mencecah lebih RM1 juta dan kini bercadang mahu menyaman ahli politik itu.-Bernama

No comments: